Friday, December 8, 2017

Konsert Suara Aman 2003




Artikel ini sudah agak lama disiarkan di Utusan Melayu, kira-kira sudah 6 tahun berlalu. Tapi, benarkan saya siarkan kembali kerana ia masih relevan untuk kita semua. Silakan membaca.

MALAM tadi ( 23/02/03 ) telah berlangsung Perhimpunan Aman Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil. Antara pengisian perhimpunan aman peringkat nasional itu adalah konsert yang dijayakan oleh artis-artis tempatan. Mereka dikatakan turut menyuarakan rasa prihatin untuk berkempen ke arah keamanan di dunia.

Kalau orang biasa yang bukan artis, suara mereka disalurkan menerusi kain rentang, poster dan sebagainya. Tetapi bagi artis, mereka mempunyai medium tersendiri iaitu karya lagu yang dinyanyikan.

Lagu apa agaknya yang dinyanyikan pada konsert yang mempunyai tema menyeru ke arah keamanan? Barangkali ada yang bertanya dalam koleksi industri muzik kita, berapa banyak lagu yang bertemakan sosial selain lagu cinta monyet?

Kita hanya mempunyai beberapa nama pencipta lagu saja yang berminat dengan lagu bertemakan sosial. Nisbahnya sangat kecil. Sebabnya lagu begini bukan selera peminat yang menjadi pelanggan kepada industri muzik kita.

Adakah malam tadi juga mereka menyanyikan lagu cinta monyet yang selalu dinyanyikan di fun fair ? Tentu ada yang tidak kena kalau hal ini berlaku. Sebelum ini artis tempatan telah menjadi sebahagian daripada individu penting dalam acara amal.

Konsert Aman Malaysia ini bukan kali pertama menggunakan artis untuk meraih sambutan. Tetapi artis kita tidak mempunyai banyak lagu yang bertemakan sosial. Maka terpaksalah menyanyikan lagu popular mereka yang tidak sesuai sama sekali.

Dalam jumlah yang kecil itu tertulislah nama M.Nasir, Suhaimi Mohd Zain,Ramli Sarip,Kumpulan Kopratasa dan beberapa lagi. M.Nasir misalnya boleh berbangga dengan Andalusia atau Phoenix Bangkit . Sementara Kopratasa dengan lagu-lagu sosial yang diangkat daripada puisi-puisi tersohor.Tetapi jumlah ini sangat kecil untuk mengisi sebuah konsert yang mempunyai tema khusus mengenai keamanan.

Kerana itu kita terpaksa mengakui bahawa sebahagian besar pencipta lagu kita hanya mencipta lagu untuk hidup. Apa yang menjadi keperluan semasa peminat mereka, maka itulah yang dihidangkan.

Kita tidak mempunyai Scorpions atau kumpulan U2 misalnya. Scorpions dengan imej rock yang selekeh telah menghasilkan lagu penting sebagai merakam kejatuhan negara-negara blok komunis dalam Wind of Change atau Moment of Glory.

Lagu-lagu ini bukan saja sebagai bahan hiburan tetapi lebih jauh daripada itu ia tertanam di tugu peringatan tentang keruntuhan komunisme di sepanjang zaman.Begitu juga dengan U2 yang pernah membuat konsert jelajah empat negara Afrika demi kemanusiaan.

Mereka tentunya menjejaki langkah penyanyi rock Irish, Bob Geldof yang mengasaskan konsert amal 1985 Live Aid untuk membantu mangsa kebuluran di Uthopia.

Memang dipuji komitmen artis kita dengan kerja-kerja sosial seperti ini. Tetapi tentu lebih baik lagi kalau mereka boleh menyampaikan suara mereka dalam lagu yang dinyanyikan. Suara golongan seniman bukanlah kata-kata. Suara seniman dituangkan dalam hasil karya mereka. Maka yang perlu dilakukan ialah selain memenuhi selera terbanyak, pencipta lagu juga perlu memenuhi selera dirinya sendiri sebagai seniman.

E-mel : kuseman@pc.jaring.my

http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0302&pub=Utusan_Malaysia&sec=Hiburan&pg=hi_04.htm

No comments:

Post a Comment

JAMMING & RECORDING - THE BEST SPOT IN KLANG VALLEY.

WHERE TO JAMM?  HERE. MY STUDIO SGB.   Facebook :  https://www.facebook.com/mystudiojamming Instagram https://www.instagram.com/mystudio.sgb...